'Saya sudah tak makan orang, sekarang saya makan bayam'
PURBALINGGA (Indonesia): Sumanto sangat suka makan daging sehinggakan dia sanggup menggali mayat seorang wanita untuk dimasak.
'Dia rasa sedap. Saya suka daging... semua jenis daging selagi ia dimasak. Tetapi saya tidak lagi makan orang. Sekarang saya makan bayam,' kata Sumanto yang diberi gelaran 'Kanibal' ketika ditemui dalam biliknya di sebuah pusat tumpangan di Jawa Tengah.
Di kebanyakan negeri kes seperti petani berusia 37 tahun dari kampung Palumutan ini tentu akan menerima rawatan psikiatrik di kemudahan yang dikawal rapi. Di Indonesia, keadaannya berlainan.
Sebelum ini, Sumanto telah menghabiskan lima tahun di penjara biasa atas kesalahan mencuri mayat.
Namun, dia kemudian dibebaskan selepas menjalani hukuman itu dan dibenarkan pulang ke kampung halamannya tanpa sebarang rawatan susulan.
Tidak mengejutkan apabila jiran tetangganya terkejut dan tidak dapat menerima kepulangan Sumanto ke kampung itu.
Dia lantas dibawa ke sebuah pusat berdekatan yang menjalankan bimbingan agama yang dikendalikan oleh pihak swasta.
'Tiada orang yang mahukan dia. Orang kampung panggil dia 'Kanibal' dan mereka sangat takut dengannya,' kata pengarah pusat itu, Encik Supono Mustajab.
Mantan pengerusia Persatuan Perubatan Indonesia, Encik Kartono Mohammad, berkata tiada institusi pemerintah yang dikhususkan oleh pesalah jenayah yang gila.
'Saya sangat bimbang. Di beberapa negara lain, orang seperti Sumanto akan ditempatkan di rumah sakit jiwa, bukan di penjara. Bagaimana jika dia bentan? Itu akan menimbulkan masalah sosial. Dia perlukan kaunseling dan perubatan,' kata Encik Mohammad.
Kakitangan di pusat tumpangan di Purbalingga, yang terletak berdekatan kampung halaman Sumanto di Palumutan, berkata dia ganas dan murung selepas dibebaskan daripada penjara pada 2006.
'Kehidupan dalam penjara memburukkan keadaannya. Dia tidak mahu makan atau minum dan dia cepat marah. Kami harus mengawal biliknya siang dan malam agar dia tidak ganggu orang lain,' kata Encik Mustajab.
Seperti penghuni lain yang ke pusat tumpangan itu kerana stres atau patah hati, Sumanto diajar mengaji Al-Quran dan digalakkan bersukan, menternak dan bercucuk tanam.
'Keadaannya kini lebih baik. Para penghuni lain membuat bayaran untuk tinggal di sini tetapi saya keluarkan wang saya sendiri untuk menampung penghuni yang susah seperti Sumanto. Mereka juga manusia,' kata Encik Mustajab.
Di kampung Palumutan, para penduduk kampung masih tidak dapat melupakan kisah Sumanto yang dikatakan bergigi taring dan suka makan kucing, lipas serta cicak..